Gary Neville teruja dengan persembahan Manchester United yang disifatkan sebagai mustahil ketika mereka menewaskan Liverpool 1-2, awal pagi tadi.

Bekas ketua pasukan juara 20 kali tersebut mengakui dia sendiri tidak percaya bagaimana kemenangan yang dinanti-nantikan itu berlaku, sekali gus menghentikan permulaan burun di bawah kendalian Erik ten Hag.

United tumbang dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah pengurus baru mereka itu apabila kecundang kepada Brighton & Hove Albion di laman sendiri dan kunjungan ke Brentford, secara tidak langsung mencetuskan perbincangan mengenai pergolakan dalam kem itu.

Namun, jaringan daripada Jadon Sancho dan Marcus Rashford menjulang barisan Ten Hag untuk mengatasi Liverpool yang masih ketandusan kemenangan pertama dalam saingan musim ini.

Neville berasa geram dengan tahap persembahan United ketika dibelasah Brentford 0-4, sembilan hari sebelumnya tetapi tiba-tiba bertukar pandangannya selepas kemenangan di Old Trafford itu.

"Sejujurnya, saya benar-benar terkejut," katanya dalam peranannya sebagai pakar Sky Sports.

“Saya tidak fikir ia satu kemungkinan, atas apa yang saya lihat malam ini, daripada segi tindak balas.



“Saya fikir pemain sedang bergelut di penghujung musim lalu dan permulaan musim ini.

"Apa yang berlaku minggu ini saya tidak pasti tetapi mereka telah memberi maklum balas. Mungkin sedikit perubahan dalam kakitangan untuk membuat keputusan berani.

"Kapten (Harry Maguire), pemain bintang (Cristiano Ronaldo) kedua-duanya diketepikan di bangku simpanan. Ini bermakna pengurus itu kurang mendapat kepercayaan daripada pemain-pemain lain.

"Bruno Fernandes telah bertindak balas; Saya fikir Lisandro Martinez di bahagian benteng telah beraksi dengan baik di samping Raphael Varane. Saya tidak tahu apakah ia tetapi saya tidak percaya dengan apa yang baru saya saksikan.

“Liverpool tidak berada pada tahap terbaik mereka, mari kita jelaskan, tetapi mereka tidak berada pada tahap terbaik menentang Crystal Palace dan Fulham.

“Ia hanyalah perbezaan daripada segi usaha Manchester United; mereka telah mengatasi Liverpool, mereka telah mengatasi Liverpool."