Sempena ambang Tahun Baharu 2023, Astro Arena imbas kembali 50 kisah terbesar dalam sukan tempatan dan dunia sukan pada tahun 2022. Saksikan juga 'Terbaik 2022' pada 31 Disember 7.30 malam di Astro Arena 801 dan Astro GO.

50. PERPINDAHAN JURULATIH DI LIGA MALAYSIA

Antara nama-nama besar yang membuat perpindahan pada musim ini ialah Tan Cheng Hoe menjadi pengendali Selangor, Lim Teong Kim ditugaskan untuk membina semula pasukan Perak dan Nafuzi Zain yang sinonim dengan Terengganu berpindah ke Kedah.

49. PASUKAN BESBOL WANITA NEGARA BERAKSI DI PIALA ASIA 2023

Pasukan Besbol Wanita negara mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung 21 Mei tahun depan. Ini merupakan penglibatan sulung buat negara dalam kejohanan berkenaan.

48. SHELLY-ANN-FRASER-PRYCE ATLET OLAHRAGA WANITA TERUNGGUL JAMAICA

Shelly-Ann menjadi atlet olahraga terunggul dari Jamaica terutama sekali selepas dinobatkan juara dunia dalam acara 100 meter dengan catatan 10.67 saat. Secara keseluruhan Shelly meraih 10 pingat emas dan 4 pingat perak. Dia turut merangkul 3 pingat emas Sukan Olimpik.

47. LA RAMS JUARA SUPERBOWL 2022

LA Rams menewaskan Cincinnati Bengals dengan kemenangan tipis 23-20 untuk menjuarai temasya sukan terbesar di Amerika Syarikat.

46. MELAKA UNITED DAN SARAWAK UNITED DISINGKIRKAN DARIPADA LIGA MALAYSIA

Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) telah pun bermesyuarat dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak. Dua pasukan terbabit sudah diberikan ‘talian hayat’ kira-kira seminggu oleh FIB, namun didapati tetap tidak dapat memenuhi dokumentasi menyebabkan mereka disingkirkan dan tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim depan.

45. PELE MENYAMBUT KRISMAS DI HOSPITAL

Legenda bolasepak dunia dan Brazil, Pele yang mengidap kanser kolon terpaksa menyambut Krismas di hospital. Pele mengalami kanser sejak 2021 dan dikhabarkan keadaannya semakin teruk bermula 29 November 2022 ketika Brazil berjuang di Piala Dunia Qatar.

44. CLAUDIO RANIERI DILANTIK JURULATIH CAGLIARI SELEPAS 31 TAHUN

Setelah 31 tahun, Claudio Ranieri dilantik semula sebagai pengendali Cagliari. Ranieri menjadi pengendali Cagliari pada 1988 hingga 1991 dan membawa pasukan liga Itali itu dari Serie C ke Serie A.

43. BEKAS PEMAIN BADMINTON NEGARA RAHMAN SIDEK MENGIDAP KANSER

Bekas pemain badminton negara, Abdul Rahman Sidek berusia 56 tahun mengidap kanser hati tahap empat menjalani rawatan di Hospital Selayang. Abdul Rahman adalah antara pemain yang membarisi skuad Piala Thomas negara ketika menjulang piala berprestij itu pada 1992.

42. LIM KOK LEONG CIPTA SEJARAH JUARA SNUKER DUNIA

Atlet snuker Malaysia, Lim Kok Leong mengharumkan nama negara sekali lagi, kali ini pemain berusia 27 tahun ini mencipta sejarah selepas menjadi atlet snuker negara pertama dinobatkan juara dunia di Antalya, Turki. Kok Leong menewaskan lawan dari Iran, Amir Sakkhosh 5-0 di final.

41. JONAS VINGEGAARD JUARA TOUR DE FRANCE

Edisi 109 Tour de France bermula di Copenhagen, Denmark dan berakhir di Champs-Élysées, Paris pada 24 Julai 2022. Pelumba dari Denmark Jonas Vingegaard dari pasukan Jumbo-Visma menjuarai edisi ini buat pertama kali dalam kariernya.

50-41 | 40-31 | 30-21 | 20-11 | 10-1