Kuala Lumpur City FC perlu berdepan wakil Asia Selatan, ATK Mohun Bagan, dalam separuh akhir antara zon Piala AFC 2022 pada 7 September ini.

Ia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuat keputusan untuk menarik balik penggantungan ke atas Persatuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) berkuat kuasa serta-merta.

Surat rasmi berkenaan perkara itu dilaporkan akan dikeluarkan selewat-lewatnya esok.

Sebelum ini, FIFA menggantung AIFF kerana campur tangan pihak ketiga dalam pengurusan sukan itu tetapi ia kelihatan dapat diselesaikan sebelum tarikh perlawanan menentang KL City.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, berkata: "Biro FIFA berpuas hati dengan apa yang berlaku sepanjang dua atau tiga hari ini, jadi kita perlu menunggu keputusan secara rasmi.

"Tetapi kami sudahpun menerima maklumat bahawa penggantungan itu akan ditarik semula dan akan diumumkan hari ini atau selewat-lewatnya esok.

"Jadi, persatuan itu tidak lagi digantung dan ia bermakna mereka boleh beroperasi semula seperti biasa dan boleh menyertai mana-mana kejohanan," katanya.

Sebagai rekod, KL City muncul juara Zon ASEAN selepas menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar, 5-2 dalam aksi final di Cheras kelmarin.