KUALA LUMPUR CITY FC 5 PSM MAKASSAR 2

Kuala Lumpur City FC muncul juara Zon ASEAN, Piala AFC 2022 selepas mencatatkan kemenangan bergaya 5-2 ke atas wakil Indonesia, PSM Makassar, dalam aksi final di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Gol berganda ketua pasukan, Paulo Josue, dalam babak kedua, selepas Romel Morales dan Jordan Mintah memberikan kelebihan 2-0 dalam babak sebelumnya, menggambarkan penguasaan keseluruhan skuad Warga Kota itu sambil Hadin Azman menyudahkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan.

Langkah bergaya KL City bermula pada minit ke-33 apabila Morales memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang gol lawan sebelum melepaskan satu sepakan voli deras dari dalam kawasan penalti untuk membuka jaringan.

The City Boys kian selesa menjelang ke bilik persalinan apabila Mintah menemui lorongan Morales susulan satu gerakan serangan balas pantas untuk memastikan kelebihan dua gol buat pasukan bimbingan Bojan Hodak itu.

Arus perlawanan terus memihak KL City dalam babak kedua dan mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila Zhafri Yahya ditolak jatuh Rizky Pratama untuk kesempatan itu digunakan sepenuhnya Josue bagi menewaskan penjaga gol, Reza Pratama, pada minit ke-52.

Bagaimanapun, wakil negara itu kemudian kelihatan kehilangan momentum buat seketika sehingga membenarkan lawan memperoleh dua jaringan pantas yang dijaringkan Yakub Sayuri dan Akbar Tanjung, masing-masing pada minit ke-58 dan 63.

Akan tetapi, keadaan itu hanya bersifat sementara dan Josue sekali lagi membawa watak pemusnah buat pasukan lawan, kali ini dengan gelecekan menariknya untuk mengatasi Reza Pratama, yang gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh awal Mintah.

Mintah sekali lagi dikasari dalam kotak penalti lawan dalam waktu kecederaan dan kali ini, giliran Hadin mencatatkan nama selaku penjaring bagi melengkapkan malam penuh gemilang buat Warga Kota.

KL City sepatutnya dijadualkan untuk berdepan kelab India, ATK Mohun Gaban, dalam separuh akhir antara zon pada 7 September depan tetapi status perlawanan itu masih menjadi tanda tanya memandangkan Persatuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) masih digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan "campur tangan pihak ketiga" dalam pengurusan mereka.