Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC mengakui pasukannya merupakan pasukan kerdil tetapi berusaha keras selepas menjuarai saingan Zon ASEAN, Piala AFC 2022 dengan menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar, 5-2 di Stadium KLFA semalam.

KL City muncul juara Zon ASEAN hasil jaringan berganda ketua pasukan, Paulo Josue, selain Romel Morales, Jordan Mintah dan Hadin Azman turut memahat nama selaku penjaring.

Ia merupakan kejayaan terbesar skuad Warga Kota itu sejak memenangi Piala Malaysia tahun lalu.

Hodak menjelaskan bahawa pasukannya tidak meletakkan sasaran yang tinggi dalam kejohanan berkenaan dan mengakui bahawa mereka merupakan kelab yang kerdil, termasuk dalam saingan domestik.

KL City sepatutnya dijadualkan untuk berdepan kelab India, ATK Mohun Gaban, dalam separuh akhir antara zon pada 7 September depan tetapi status perlawanan itu masih menjadi tanda tanya memandangkan Persatuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) masih digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan "campur tangan pihak ketiga" dalam pengurusan mereka.

"Kami tidak meletakkan sebarang harapan yang besar. Kami pasukan yang rajin. Kami kelab yang kerdil, termasuk di dalam Malaysia," kata Hodak dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Tetapi kami sangat rajin dan kami sedar perlawanan yang kami perlu lalui sejak peringkat kumpulan dan kami melaluinya dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Tiada siapa menjangka kami akan menang di Vietnam ke atas pasukan yang jauh lebih baik daripada kami (Viettel FC).

"Kejayaan memenangi Piala Malaysia musim lalu merupakan penamat kisah dongeng buat kami tetapi kali ini, kami bersaing dalam Piala AFC yang juga merupakan kisah dongeng buat kami.

"Setiap kisah pasti akan ada penamatnya dan kami masih meneruskan impian kami dan berharap akan ada penamat yang indah.

"Selepas ini, saya tidak tahu lawan yang akan kami hadapi, mungkin pasukan dari India, Hong Kong atau Uzbekistan.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana tiada istilah pasukan lemah dalam Piala AFC," katanya.