Muhammad Fadhil Mohd Zonis memasang impian untuk mendominasi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) tahun depan selepas menambah koleksi pingat Malaysia di New Delhi, India, apabila meraih pingat perak acara 1 kilometer ujian masa hari ini.

Fadhil menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 minit 1.639 saat untuk akur ketinggalan di belakang pelumba Jepun, Yuta Obara.

Sedar hanya Obara menjadi pencabar terhebatnya dalam misimya untuk merangkul pingat emas saingan ini, Fadhil cuba mengawal tekanan.

Faktor keletihan juga menjadi elemen kayuhannya kurang bertenaga untuk menyaingi Obara -- yang melintasi garisan penamat dengan catatan 1 minit 1.118s -- tetapi ia tidak menghalangnya untuk memastikan kedudukan di podium.

"Saya berpuas hati dengan prestasi saya walaupun berasa penat pada pagi tadi kerana sudah dua hari berlumba.

"Saya agak tertekan juga tapi saya dapat kuatkan mental untuk menang buat Malaysia. Alhamdulillah saya dapat beri tentangan hebat kepada mereka.

"Antara dua pencabar ini, saya dapat berkayuh terlebih dahulu dan meraih catatan yang pantas..

"Nampak pelumba lain juga tertekan tapi pelumba Jepun lebih laju daripada saya.

"Saya akan cuba semula dalam ACC tahun depan. Insya-Allah saya akan cuba dapatkan emas pula untuk Malaysia," katanya.

Tempat ketiga menjadi milik wakil tuan rumah, India, Ronaldo Singh 1 minit 1.798s.

Sementara itu, berita baik daripada kejohanan sama menerusi pelumba penapis iaitu Nyo Ci Hui yang meraih emas dalam acara final perlumbaan scratch.

Ci Hui mencatat perlumbaan sejauh 7.5km itu di hadapan pelumba Jepun, Mizuki Ikeda, yang merangkul perak sementara Sofiya Karimova dari Uzbekistan memenangi gangsa.

Bagi acara pecut elit lelaki, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berakhir di tempat kelapan.