Pelumba basikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, berpuas hati dengan pencapainnya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi biarpun sekadar meraih pingat perak dalam acara keirin semalam.

Bagi Olimpian negara itu, dia sudah mencuba yang termampu untuk menyekat pesaingnya tetapi strategi yang digunakan dua pelumba Jepun menyukarkan kayuhannya.

Dalam perlumbaan itu, pelumba Jepun, Kohei Terasaki, muncul pemenang pingat emas di ikuti Shah Firdaus dan wakil Kazakhstan, Sergey Ponomaryov, pula melengkapkan kedudukan podium.

"Alhamdulillah, selepas hari kedua, saya mnendapat dua pingat perak, masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin," katanya kepada Nadi Arena.

"Dalam acara keirin, Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk ke final tetapi sewaktu final terdapat dua pelumba Jepun, dua pelumba Kazakhstan, satu pelumba India dan saya.

"Jadi, seperti yang kita tahu, apabila ada dua pelumba daripada Jepun, mereka akan melakukan taktikal untuk mendorong sesama sendiri -- seorang akan berkorban untuk membantu seorang lagi pelumba.

"Jadi, untuk mengelakkan perkara itu berlaku, saya perlu melakukan pecutan jarak jauh tetapi malangnya di 10 meter terakhir, pelumba dari Jepun itu dapat memintas saya.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati dan tetap positif kerana saya telah buat yang terbaik dan menjalankan perancangan dengan tepat seperti yang dimahukan jurulatih, cuma mungkin rezeki masih belum berpihak kepada saya," katanya.