Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan, akan meneliti insiden jaringan tunggal Kedah Darul Aman FC ketika menentang pasukannya di dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Ini selepas kedudukan penjaring, Ronald Ngah Wanja, kelihatan berada di posisi ofsaid sebelum jaringan itu dihasilkan dan Zainal Abidin berkata pihaknya mungkin akan melakukan bantahan sebaik meneliti rakaman video.

Apapun, penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum perkara itu dipanjangkan ke pihak penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Saya perlu melihatnya kembali dan jika benar (ofsaid), kami akan membuat surat bantahan kerana ia perlu diteliti terlebih dahulu," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Kedudukan saya agak jauh tetapi pemain lebih menyedarinya dan mereka mungkin benar atau tidak benar.

"Jadi, saya tidak berani untuk mengatakan ia ofsaid atau tidak selagi saya tidak melihatnya semula dengan mata saya sendiri.

"Bagaimanapun, saya menyedari kekecewaan mereka kerana kelemahan Penang sejak kebelakangan ini adalah di bahagian pertahanan.

"Mereka bertungkus-lumus kerana sudah berjanji kepada saya bahawa mereka tidak akan dibolosi.

"Kerana itulah mereka amat marah dengan jaringan itu.

"Saya akan melakukan penilaian secepat mungkin dan akan berbincang dengan pegawai Penang, dan sekiranya ia ofsaid, kami akan mengemukakan surat aduan," katanya.