Kedah Darul Aman FC berjaya memastikan tiga mata penuh diperoleh menerusi pertemuan derbi Utara apabila menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini, sebentar tadi.

Gol kemenangan skuad Lang Merah itu diperoleh menerusi Ronald Ngah yang mengecewakan penjaga gawang pelawat, Hafizul Hakim pada minit ke-56 selepas mendapat hantaran daripada Al-Hafiz Harun.

Kemenangan tersebut merupakan yang kedua bagi Kedah musim ini bertemu lawan sama selepas turut mengutip mata penuh di Stadium Bandaraya 17 April lalu.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berusaha mengawal permainan menerusi beberapa percubaan namun tersasar sebelum separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan.

Kedah berjaya memecah kebuntuan selepas sembilan minit perlawanan bersambung, Ronald berjaya menampan masuk hantaran Al-Hafiz untuk gol pertama tuan rumah.

Kedah hampir mendapatkan dua gol tambahan dalam tempoh lima minit terakhir babak kedua namun percubaan mereka sekali lagi gagal menepati sasaran.

Kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Kedah kembali mengaum.