Bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, sedia kembali mewarnai Liga-Malaysia (Liga-M) meskipun terpaksa bersaing dengan rakan karibnya, Tan Cheng Hoe, untuk mengisi jawatan ketua jurulatih Perak.

Dua ikon bola sepak negara itu disahkan antara tiga calon yang berada dalam perancangan The Bos Gaurus musim depan.

Selain Rajagobal dan Cheng Hoe, seorang lagi bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, turut dikaitkan ke kelab Liga Perdana itu.

"Setakat ini tiada apa-apa.

"Spekulasi ada tapi berita yang sebenarnya belum lagi," katanya yang ditemui ketika membarisi Malaysia Legend All Star dalam Majlis Pelancaran Mini Football Malaysia di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Selangor, semalam.





Rajagobal yang pernah membimbing beberapa pasukan Liga-M kali terakhir bertindak mengemudi Brunei.

Namun, dia yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 belum mencapai kata sepakat dengan persatuan negara itu untuk menamatkan kontraknya awal tahun ini berikutan beberapa masalah tertentu.

"Saya akan fikir pasal saya baru balik dari Brunei.

"Mungkin saya perlu fikirkan dengan baik (mendalam) apa yang terbaik buat saya sendiri pada masa depan," katanya.

Rajagobal menganggap Cheng Hoe sebagai jurulatih berpengalaman di peringkat kelab selain pernah mengendalikan pasukan kebangsaan.