Faisal Halim percaya kerjasama tinggi dalam kalangan pemain Harimau Malaya telah menghasilkan satu permainan tahap tinggi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu melepasi ujian pertama pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 dengan mengatasi Turkmenistan 3-1 selepas mempamerkan persembahan bertenaga dalam separuh masa pertama.

Pemain sayap Terengganu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Kumpulan E berkenaan termasuk satu jaringannya pada minit ke-16.




Dia membuka akaun jaringan antarabangsa ketika bertemu Brunei dalam aksi pemanas badan minggu lalu tetapi jaringan yang dilakar tonggak berumur 24 tahun itu malam tadi memberi makna yang cukup manis buatnya.

"Jujur saya memang sebak. Ini gol pertama saya di peringkat antarabangsa dan tertinggi.

"Ini untuk rakan-rakan dan tanpa mereka siapalah saya," katanya ketika disambut hos Astro Arena selepas perlawanan.





Faisal sebelum ini acap mengatakan sentuhannya sekarang dipengaruhi penghijrahannya ke kelab Pantai Timur itu yang mengamalkan falsafah latihan bertekalan tinggi, dan ia dibuktikan apabila dia mudah menyerap sistem taktikal Pan-gon termasuk rakan sepasukannya.

“(Jaringan saya ini) terhasil disebabkan keamatan permainan dan pantas (hingga) membantu saya yang berbadan kecil ini untuk bersaing dengan pemain lawan yabg berbadan besar di atas padang.

“Gol itu bukan sumbangan saya seorang sahaja sebenarnya ia mewakili semua rakan sepasukan serta Kim Pan-Gon.

"Kerja keras kami selama ini membuahkan hasil (apabila) memenangi tiga mata penting dalam aksi pertama ke atas pasukan yang kuat.

“Saya sendiri tidak menjangkakan boleh menghadiahkan gol kedua begitu awal -- pada 20 minit pertama -- terhadap pasukan kuat (Turkmenistan) dan kuasai permainan," tambahnya dalam sidang media selepas perlawanan.