MALAYSIA 3 TURKMENISTAN 1

Skuad negara memulakan kempen pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 (2023 Asia Cup Qualification) dengan cemerlang apabila menewaskan Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Biarpun dibezakan 20 anak tangga dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) -- Malaysia di tangga ke-154 -- skuad negara mempamerkan aksi berkeamatan tinggi sejak dari awal perlawanan pertama Kumpulan E itu dan berhasil mencorakkan serangan berbahaya, antaranya menerusi percubaan jarak jauh Safawi Rasid dan usaha Faisal Halim.

Hasilnya, Harimau Malaya berada di depan apabila Safawi memanfaatkan bola muntah susulan kesilapan penjaga gol lawan, Mammet Orazmuhammedow, pada minit ke-11.

Hanya lima minit diperlukan pasukan bimnbingan Kim Pan-gon itu untuk menggandakan kelebihan, kali ini menerusi gerakan Faisal, yang menerima bola daripada gerakan licik Arif Aiman Hanapi .

Bagaimanapun, skuad negara menerima padah pada minit ke-37 gara-gara kealpaan Shahrul Saad, yang kehilangan bola di kawasan sendiri, untuk Altymyrat Annadurdyyew merapatkan jurang buat Turkmenistan.

Ketika keadaan kelihatan genting buat Harimau Malaya, Corbin Ong mempamerkan larian solo gemilang dari bawah sebelum memastikan Malaysia kembali dengan kelebihan dua gol menjelang ke bilik persalinan.

Malaysia lebih gemar menguasai bola dan bertahan sambil mengintai peluang serangan balas pantas sepanjang babak kedua, di mana Pan-gon turut melakukan beberapa pertukaran pemain, antaranya dengan memasukkan Safiq Rahim, Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh dan Guilherme di Paula.

Dengan mengekalkan kedudukan 3-1 itu sehingga ke wisel penamat, Malaysia kini mendahului Kumpulan E dengan kelebihan satu jaringan berbanding Bahrain, yang akan menjadi lawan seterusnya buat Harimau Malaya di venue sama pada Sabtu ini.