'Kalau saya jadi ketua jurulatih Malaysia, syarat utama, jangan kacau kerja saya', tegas bekas jurulatih skuad B19 negara, Bojan Hodak, merujuk kepada perletakkan jawatan Tan Cheng Hoe dan kini namanya antara yang disebut layak untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Cheng Hoe.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan Tan Cheng Hoe telah mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Tindakannya meletakkan jawatan diselubungi prestasi hambar Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 yang menyaksikan mereka tersingkir awal di peringkat Kumpulan B dengan kekalahan kepada Vietnam dan Indonesia.

Susulan kejayaan membantu Kuala Lumpur City FC bergelar juara Piala Malaysia edisi ke-100, nama Hodak yang tidak asing dalam saingan bola sepak tempatan, dicanang sebagai pengganti Cheng Hoe mengemudi skuad kebangsaan.

"Semestinya jadi semua ketua jurulatih berminat dengan mengendalikan Harimau Malaya," kata Hodak.

"Jika saya menerima peranan ini, saya memiliki syarat tersendiri. Saya percaya Malaysia memiliki barisan pemain berkualiti dan berkemampuan untuk melayakkan diri ke Piala Asia.

"Seperti kelab-kelab yang telah saya bimbing sebelum ini, saya tidak mahu sebarang campur tangan kerana itu yang diterapkan dan saya memberikan keputusan untuk pasukan."