Stan Wawrinka tidak akan dapat mempertahankan gelaran Terbuka AS selepas mengesahkan menarik diri daripada kejohanan tersebut untuk berehat sehingga penghujung musim 2017 kerana dibelenggu kecederaan lutut.

Wawrinka, yang menewaskan Novak Djokovic dalam empat set untuk melakar kejayaan di Flushing Meadows tahun lalu, mengumumkan dia juga tidak dapat meneruskan cabaran dalam saingan Jejalah Dunia ATP di Montreal dan Cincinnati.

Pemenang Grand Slam tiga kali itu, yang mengalami kekalahan pada pusingan pertama Wimbledon, memberitahu penyokong-penyokongnya, "Kita akan berjumpa pada 2018!"

"Saya terpaksa mengumumkan selepas berbincang dengan pasukan dan dokor, saya perlu menjalani pembedahan pada lutut saya," kata Wawrinka melalui laman Facebooknya.

"Ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi memastikan saya terus bersaing di tahap tertinggi pada masa akan datang.

"Ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan tetapi saya sudah melihat ke hadapan dan merancang proses pemulihan saya. Saya amat mencintai sukan ini dan akan terus bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik saya dan beraksi dalam tempoh yang panjang.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penyokong-penyokong saya yang memberikan sokongan kepada saya sejak beberapa hari lepas. Kita akan berjumpa semula pada 2018!"