Selepas laporan polis awal menyatakan Venus Williams bersalah atas kemalangan maut yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 78 tahun pada Jun lalu, Jabatan Polis Palm Beach Gardens kemudian mengumumkan bintang tenis itu atau pemandu lain tidak dipersalahkan.

Polis telah meninjau rakaman pengawasan simpang jalan itu di mana kenderaan Venus bertembung dengan sebuah kereta lain pada 9 Jun.

Kedua-dua pemandu, Linda Barson, dan suaminya, Jerome, mengalami kecederaan sebelum Jerome meninggal dua minggu kemudian.

Berdasarkan keterangan yang diperolehi dalam penyiasatan itu, Williams secara sah memasuki simpang jalan itu.

Sebuah kenderaan lain telah memotong giliran di hadapan kenderaan milik juara Grand Slam tujuh kali berkenaan untuk membelok ke kiri sehingga menyebabkan dia berhenti secara mendadak bagi mengelak kemalangan.

Sebaik lamput isyarat bertukar hijau, pada masa itu Barson yang juga ingin memasuki simpang itu telah menghentam sebelah kanan kenderaan Venus.

"Berdasarkan siasatan ini dan undang-undang negeri Florida yang berkaitan, tiada tuduhan akan difailkan dalam kes ini," kata polis dalam laporan siasatan kematian trafik setebal 18 muka surat itu.

"Kenderaan berwarna gelap (jenama yang tidak diketahui) ... adalah punca kemalangan yang mengakibatkan (Barson) merempuh (Williams)," menurut laporan itu.

Linda Barson patah beberapa tulang, arteri utama Jerome Barson terputus sehingga mengakibatkan pendarahan teruk, retak tulang belakang serta kerosakan organ dalaman yang serius.

Williams, 37, tidak cedera atau terganggu, menurut laporan polis itu dan kehadirannya tidak dinyatakan dalam kemalangan itu.

Venus berdepan saman kematian dengan tuntutan ganti rugi yang tidak ditentukan kerana rekod lampau di Florida tidak memihak kepadanya.

Ini kerana dia pernah memandu tanpa insurans pada 2009 selain memandu dengan lesen dibatalkan setelah menyebabkan kemalangan pada 2013.