Dominic Thiem dan Alexander Zverev mengundang keraguan sama ada Terbuka Amerika Syarikat (AS) akan diteruskan seperti yang dijadualkan selepas diselubungi wabak COVID-19.

Kejohanan Grand Slam itu sepatutnya berlangsung 31 Ogos depan namun dibayangi situasi semasa di New York yang teruk dilanda pandemik berkenaan.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, minggu ini menyifatkan sekatan perjalanan yang akan dikenakan kepada pemain terutama bintang utama sebagai "melampau dan mustahil".

Pemain disarankan mengehadkan bilangan rombongan pasukan, akses ke luar venue terbatas sementara pemain yang tiba dari luar AS perlu menjalani kuarantin.

Rafael Nadal, Ash Barty dan Simona Halep muncul antara bintang yang mempersoalkan adakah realistik bagi mereka untuk beraksi di Flushing Meadows itu.

Thiem dan Zverev turut menyatakan perasaan berat hati mereka.

Bercakap di Belgrade sebelum tampil dalam perlawanan pertunjukan, Jelajah Adria, yang diaturkan Djokovic, Thiem berkata: "Keadaan ini cukup sukar.

"Saya rasa beberapa situasi harus berubah agar ia masuk akal untuk kami pergi ke New York."

Pemain nombor tiga dunia itu menambah: "Tiada kepastian, keadaan mungkin bertambah baik atau mungkin tidak, jadi kita harus menunggu sehingga fakta keluar sebelum memuktamadkan keputusan."

Pemain nombor tujuh dunia, Zverev, pula berkata: "Adalah sangat bagus jika kami berpeluang untuk beraksi tetapi dalam keadaan seperti ini, saya tidak fikir ramai pemain akan berasa selesa dengan persekitaran di sana.

"Itu pendapat saya. Tetapi ia bukan bergantung kepada pemain untuk memutuskannya. Penganjur Terbuka AS akan membuat keputusan."

Jelajah ATP ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya hujung bulan depan.