Naomi Osaka akan beraksi dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Western & Southern di New York selepas mengubah fikirannya untuk menarik diri daripada perlawanan itu berikutan tanda protes ke atas ketidakadilan kaum dan keganasan polis.

Pemenang dua kali kejohanan grand slam itu mengumumkan semalam bahawa dia tidak akan turun menentang Elise Mertens sebagai tanda protes susulan insiden penembakan Jacob Blake di Amerika Syarikat (AS).

Blake, seorang lelaki kulit hitam, ditembak berkali-kali di belakang badannya oleh anggota polis di Kenosha, Wisconsin dan insiden itu telah memacu gerakan boikot dalam sukan utama di AS.

Bekas pemain wanita nombor satu dunia, Osaka, mengeluarkan kenyataan dalam Twitter bahawa dia menarik diri daripada kejohanan itu untuk "memulakan perbincangan dalam sukan yang majoritinya disertai atlet kulit putih".

Bagaimanapun, perlawanannya menentang Mertens dalam separuh akhir akan diteruskan lewat sehari daripada tarikh asal selepas pihak penganjur bersetuju untuk menghentikan semua perlawanan semalam.

"Seperti yang anda maklum, saya menarik diri daripada kejohanan ini semalam kerana mahu menunjukan sokongan terhadap protes ketidakadilan kaum dan keganasan polis yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan The Guardian.

"Saya sudah bersedia untuk menarik diri daripada bertemu lawan saya.

"Bagaimanapun, selepas pengumuman saya dan perbincangan panjang dengan WTA dan USTA, saya bersetuju dengan permintaan mereka untuk bermain Jumaat ini (awal pagi esok).

"Mereka menawarkan untuk menunda semua perlawanan sehingga Jumaat ini dan saya fikir ia lebih menarik perhatian bagi gerakan berkenaan.

"Saya mahu berterima kasih kepada WTA dan kejohanan ini kerana sokongan mereka," katanya.