Pemain nombor satu dunia, Ash Barty, tersingkir daripada Kejohanan Tenis Terbuka Charleston apabila tewas kepada pemain Sepanyol, Paula Badosa, dalam suku akhir hari ini.

Badosa menang 6-4, 6-3 ke atas pemain pilihan dari Australia itu dalam masa 1 jam 16 minit untuk menempah tempat ke separuh akhir pertandingan tanah liat itu berdepan pilihan ke-15, Veronika Kudermetova.

Kudermetova mara selepas menewaskan juara Terbuka AS 2017, Sloane Stephens, 6-3, 6-4 bagi merekodkan kemenangan sulungnnya ke atas pemenang grand slam.




Bekas juara remaja Terbuka Perancis, Badosa -- yang mengalahkan pilihan kelima, Belinda Bencic, dalam pusingan kedua -- beroleh kemenangan kedua ke atas pemain kelompok 20 terbaik dunia sepanjang kariernya ketika menewaskan Barty.

Pemain Sepanyol itu mematahkan servis Barty sebanyak lima kali selain melakukan tujuh ace dan 12 break point daripada 14 kesempatan.

"Saya agak gementar hari ini tetapi saya fikir saya telah beraksi dengan baik dan saya rasa itulah kunci kepada perlawanan ini," kata Badosa dalam wawancara di tengah gelanggang.

"Ia adalah satu perlawanan yang sukar tetapi saya berjuang hingga saat-saat terakhir dan saya memenangi."

Pemain nombor 71 dunia itu muncul pemain dengan kedudukan terendah untuk mengalahkan Barty-- yang memenangi lapan perlawanan berturut-turut sejak ditabal juara dalam Tebuka Miami minggu lalu -- sejak September 2019.