Maria Sharapova mengalami rentetan kekalahan terburuk dalam kejohanan grand slam sepanjang kariernya apabila bekas pemain nombor satu dunia itu disingkirkan daripada Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne hari ini.

Sharapova menempa kekalahan ketiga berturut-turut dalam pusingan pembukaan kejohanan grand slam apabila tewas 3-6, 4-6 kepada pemain pilihan ke-19, Donna Vekic, di mana dia turut melakukan 31 'unforced error'.

Selepas tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, pemenang lima kali kejohanan utama itu sekali lagi disingkirkan dalam perlawanan di bawah cuaca terik selama sejam 21 minit di Arena Rod Laver.

Ia merupakan kali pertama dalam tempoh sedekad bintang Russia dan juara edisi 2008 itu terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Australia.

Sharapova, yang kali terakhir memenangi kejuaraan grand slam dalam Terbuka Perancis pada 2014, tewas kepada rakan senegaranya, Maria Kirilenko, dalam pusingan sama pada 2010.

Pemain berusia 32 tahun itu dilihat bergelut untuk mendapatkan prestasi dan tahap kecergasan terbaiknya selepas hanya beraksi dalam 15 perlawanan sepanjang musim lalu gara-gara kecederaan -- dengan rekod 8-7 selepas digantung selama 15 bulan hingga 2017 kerana penggunaan bahan terlarang.



Editor: Muzaffar Musa