Terbuka Australia: Nadal puji penampilan positif Kyrgios

Oleh Staff Writer 27 Januari 2020 769
Terbuka Australia: Nadal puji penampilan positif Kyrgios
Rafael Nadal memberi galakan kepada Nick Kyrgios untuk terus mempamerkan sikap yang sama sepanjang Grand Slam Terbuka Australia kali ini selepas pemain Sepanyol itu memenangi pertembungan pusingan keempat berkenaan sebentar tadi. 

Pemain nombor satu dunia itu mengatasi tentangan Kyrgios menerusi kemenangan 6-3, 3-6, 7-6 (8-6), 7-6 (7-4) di Rod Laver Arena untuk ke suku akhir.

Hubungan kedua-dua pemain itu agak tegang sebelum ini tetapi tetapi saling menghormati sepanjang pertarungan tadi manakala prestasi terkini wakil tuan rumah itu, yang terkenal dengan sikap tidak menentunya, terus meniti di jalan yang tepat. 

Nadal berkata pemain berusia 24 tahun itu merupakan salah seorang pemain terbaik dalam Jelajah ATP dan dia perlu meneruskan perubahan sikapnya itu. 

"Apa yang boleh saya katakan mengenai Nick? Apabila dia bermain seperti hari ini dengan sikap positifnya, dia memberikan banyak perkara positif kepada sukan ini," kata pemain Sepanyol itu dalam temu bual di tengah gelanggang. 

"Saya menggalakkannya supaya terus berusaha seperti ini kerana dia merupakan salah seorang pemain berbakat besar yang kami ada dalam siri jelajah. 

"Saya menggemari (sikap) Nick Kyrgios dalam kejohanan ini."

Kyrgios dilihat memanaskan badan sempena pertembungan itu dengan menyarung jersi Kobe Bryant selepas kematian legenda Los Angeles Lakers itu. 

Nadal juga memberi penghormatan kepada Bryant, yang terbunuh bersama anak perempuannya, Gianna, 13, serta tujuh lagi mangsa dalam nahas helikopter di Calabasas, California, awal pagi tadi. 

"Dia sentiasa mahukan pencapaian lebih baik, dia sentiasa mahu meningkatkan kemampuannya," katanya. 

"Dia merupakan inspirasi sebenar kepada dunia sukan, bahkan terhadap ramai kanak-kanak, jadi ini merupakan salah satu daripada hari-hari yang ingin dilupakan.

"Tetapi tentu saja Kobe Bryant akan sentiasa berada di dalam sanubari dan fikiran sepanjang hidup kita."



Editor: Shaiful Shamsudin ​

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen