Novak Djokovic melaungkan keyakinan untuk menjuarai Grand Slam Terbuka Australia apabila menempah tempat dalam suku akhir hari ini.

Djokovic dalam misi mengungguli gelaran kelapan Piala Cabaran Norman Brookes itu di Melbourne dan juara 16 grand slam berkenaan meniti di landasan tepat untuk menambah koleksinya susulan kemenangan 6-3, 6-4, 6-4 ke atas pemain pilihan ke-14, Diego Schwartzman.

Ia merupakan kemenangan straight set ketiga berturut-turut di Melbourne Park itu, di mana pilihan kedua dari Serbia itu melangkah ke suku akhir Terbuka Australia buat kali ke-11.

Selepas beraksi cemerlang menerusi 38 servis dalam tempoh dua jam di Arena Rod Laver itu, Djokovic memberitahu pemberita: "Ia terasa hebat, saya mengharungi beberapa perlawanan yang hebat secara berturut-turut dalam dua pusingan terakhir di gelanggang tengah. Saya berasa lebih yakin untuk membuat pukulan dan melancarkan servis dengan dengan sangat baik.

"Hari ini adalah ujian yang baik memandangkan Diego dalam prestasi yang bagus. Dia tidak pernah melepaskan satu set pun dalam tiga pusingan awal. Jelas bahawa dia boleh menjadi lawan yang sangat berbahaya di garisan belakang sekiranya anda memberikannya masa. Saya memasuki gelanggang dan sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya fikir saya menguasai pertarungan dalam ketiga-tiga set ini. Mungkin saya patut menamatkan permainan ini dengan lebih awal tetapi ia adalah prestasi yang sangat mantap."

Pilihan ke-32 yang juga merupakan bekas pemain nombor tiga dunia, Milos Raonic, akan menjadi seterunya dalam pusingan seterusnya selepas mengalahkan Marin Cilic dalam aksi tiga set.




Editor: Shaiful Shamsudin