Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, menyokong penggunaan teknologi garisan terus diketengahkan dalam Jelajah ATP selepas melihat keberkesanannya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia.

Terbuka Australia yang berlangsung ketika ini muncul kejohanan pertama yang diadakan tanpa penjaga garisan berhubung kekangan penularan COVID-19 di Melbourne Park dengan teknologi "Hawk-Eye Live" digunakan dalam setiap pengadilan.

Ia adalah kejohanan grand slam pertama untuk menggantikan kepakaran manusia dan diambil alih teknologi memandangkan kejohanan ini berhasrat mengehadkan jumlah orang di gelanggang bagi mengelak pandemik itu daripada merebak.

Djokovic dibatalkan penyertaan dalam pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu gara-gara secara tidak sengaja memukul bola ke arah penjaga barisan ketika berentap dengan Pablo Carreno Busta di New York.

Ditanya mengenai kaedah dalam Terbuka Australia itu, juara bertahan dan pemenang lapan trofi tersebut memberitahu wartawan: "Saya menyorot kembali insiden Terbuka AS tahun lalu, seseorang pernah bertanya kepada saya sama ada saya akan menyokong idea memperkenalkan teknologi garisan seperti ini dalam setiap kejohanan.

"Tentunya saya bersetuju tetapi dengan syarat bahawa kejohanan itu mampu menghasilkan pelaburan sebesar itu daripada segi kewangan, kerana jelas sekali ini adalah satu pelaburan."

Pemain Serbia itu ditemui selepas mengatasi Jeremy Chardy 6-3, 6-1, 6-2 dalam pusingan pertama semalam.

Juara grand slam 17 kali itu cuba merapatkan jurang dengan jaguh 20 gelaran utama, Roger Federer -- yang tidak menyertai kejohanan tahun ini -- kerana bimbang dengan COVID-19.




"Saya menyokongnya tetapi saya faham bahawa ada tradisi dan sejarah mengenai cara kami membiasakan diri dengan barisan pengadil.

"Saya juga berasa simpati dengan nasib barisan sukarelawan dengan pengadil garisan ini yang mencintai tenis.

"Mereka mahu mempunyai kesempatan untuk berada di gelanggang dan berada dekat dengan pemain kerana ia merupakan sebahagian prestij kejohanan ini.

"Tetapi saya fikir apabila mereka perlu membuat keputusan muktamad, secara amnya saya sebenarnya lebih memihak kepada teknologi. Saya rasa ia terbukti sangat tepat dalam soal ini.

"Secara jujurnya saya tidak nampak sebab mengapa kami memerlukan penjaga garisan jika kami sudah mempunyai teknologi seperti ini. Sudah tentu saya akan mempertahankan penjaga garisan, tetapi saya cenderung untuk menyokong teknologi ini."