Terbuka Australia: Cabaran pusingan pertama petanda baik buat Djokovic

Oleh Staff Writer 21 Januari 2020 42
Terbuka Australia: Cabaran pusingan pertama petanda baik buat Djokovic
Juara bertahan Kejohanan Tenis Terbuka Australia, Novak Djokovic, bergelut untuk menewaskan Jan-Lennard Struff dalam pusingan pertama di Melbourne malam tadi, namun ia merupakan petanda baik buat bintang Serbia itu.

Djokovic, yang memburu kejuaraan kelapan untuk memecahkan rekod baru dalam Terbuka Australia -- memulakan saingan dengan kemenangan sukar 7-6, 6-2, 2-6, 6-1 ke atas lawan dari Jerman berkenaan.

Juara 16 kali kejohanan grand slam itu hampir menutup perlawanan berkenaan dengan kemenangan straight set selepas mengungguli set pertama yang berlangsung sengit -- di mana dia melakukan 12 'unforced error' -- sebelum Struff bangkit mengheret perlawanan di Arena Rod Lever itu ke set keempat.

Djokovic, bagaimanapun, tidak dapat dihalang untuk meraih kemenangannya yang ke-900 dalam karier ATP dan bintang Serbia itu memberitahu wartawan: "Saya sebenarnya menggemari saingan sukar dalam pusingan pertama, dalam kejohanan grand slam, terutamanya.

"Secara sejarahnya, saya banyak menjuarai kejohanan grand slam apabila melalui perlawanan sukar dalam pusingan pertama.

"Kerana ia membuatkan saya lebih bersemangat.

"Sejak dari mula, saya perlu lebih peka, saya perlu berada di tahap tertinggi.

"Saya fikir saya sedang melakukannya," katanya.

Djokovic, yang akan berdepan sama ada pemain peluang khas dari Jepun, Tatsuma Ito, atau pemain yang bernasib baik ke kejohanan utama, Prajnesh Gunneswaran, dalam pusingan kedua, menambah: "Secara keseluruhan, ia permulaan yang amat kukuh, terutama dalam set kedua dan keempat.

"Saya bermain di tahap yang agak tinggi, servis yang dilakukan agak baik, banyak ace dan peratusan servis ke dalam juga tinggi.

"Saya dapat rasa saya sedang menguasai permainan.

"Walaupun saya tewas dalam set ketiga, saya masih berasakan 'jika saya bermain di tahap yang sepatutnya, saya memiliki kelebihan'.

"Saya menamatkan perlawanan ini dengan bergaya, dengan cara yang betul dan ia amat positif," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen