Serena Williams bangkit daripada permulaan hambar untuk menewaskan Sloane Stphens 2-6, 6-2, 6-2 untuk mara ke pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Williams memerlukan masa untuk mendapatkan rentak terbaiknya di Stadium Arthur Ashe dengan jangkaan yang kurang tepat, terutama ketika melakukan pukulan kilas dan keragaman pukulan baik daripada Stephens menyaksikan juara edisi 2017 itu mudah mendahului dalam set pertama.

Tetapi Williams, yang meneruskan pemburuannya untuk mengatasi rekod 24 gelaran grand slam milik Margaret Court, kekal tenang untuk menghadapi situasi sukar itu dan apabila dia memperoleh mata break untuk mendahului 4-2 dalam set kedua, Stephens langsung tidak berpeluang untuk memperoleh mata.

Pilihan ketiga itu, yang merupakan juara enam kali di New York, memenangi 10 daripada 12 perlawanan terakhirnya untuk kini mencongak perhitungan dengan Maria Sakkari dalam pusingan keempat.

Peringkat awal menyaksikan Williams seakan-akan bakal tersingkir daripada kejohanan itu apabila pukulan tajamnya kerap terkeluar daripada kawasan permainan.

Stephens lebih gemar untuk mengamalkan corak permainan yang lebih terbuka dan Williams kelihatan bergelut untuk mengejar bola dengan kegagalan pukulan balas kilasnya memberikan Stephens pendahuluan 5-2 sebelum memenangi set pembukaan itu.

Seperti kebiasaan, Williams mula mempamerkan kebangkitannya dalam set kedua untuk memenangi rally 16 pukulan bagi mendahului 4-2 sebelum Stephens mula melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

Tiada tanda-tanda untuk Stephens menyamakan kedudukan apabila Williams mengekalkan momentumnya dan walaupun Stephens berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata break, dia hanya dapat melakukannya selepas lawannya itu sudah mendahului 3-1.

Sejak dari itu, perlawanan berkenaan kelihatan seperti sesi latihan buat Williams, yang menamatkan cabaran itu dalam tempoh sejam 43 minit apabila Stephens melakukan pukulan yang terkeluar daripada garisan belakang.