Novak Djokovic mengatasi kegoyahan awal untuk menumbangkan pemain Britain, Kyle Edmund, 6-7 (5-7), 6-3, 6-4, 6-2 dalam pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Pemain nombor satu dunia itu berdepan beberapa rintangan awal di Flushing Meadows sebelum dia melebarkan rekod kemenangannya tahun ini kepada 24-0.

Edmund, yang menduduki ranking ke-44 dunia, mengheret set pertama ke 'tie break' untuk hampir mencetuskan kejutan tetapi Djokovic mula mendapat rentak dan jarang jarang berdepan masalah dalam aksi bertaraf Grand Slam itu.

Selepas 3 jam 13 minit di gelanggang, pemain handalan kelahiran Serbia itu akhirnya menundukkan Edmund untuk mengadakan pertemuan dengan Jan-Lennard Struff dalam pusingan ketiga.



Dalam saingan wanita pula, pemain pilihan dan bekas finalis, Karolina Pliskova, terkandas apabila dihampakan Caroline Garcia 6-1, 7-6 (7-2) sementara Naomi Osaka dan Petra Kvitova meneruskan kemaraan masing-masing.