Kejohanan Jelajah ATP dan WTA yang dijadualkan di China sepanjang tahun ini dibatalkan berikutan ancaman COVID-19,

Kejohanan Terbuka China, Shanghai Masters, Terbuka Chengdu dan Zhuhai ATP itu sepatutnya diadakan hujung akhir tahun ini tetapi hari ini secara rasminya dibatalkan.

Sementara itu, WTA bertindak membatalkan tujuh lagi pertandingan yang sepatutnya berlangsung di China, termasuk Pusingan Akhir WTA.

Keputusan itu dibuat selepas Kerajaan China mengumumkan tidak akan menganjurkan acara sukan antarabangsa di negara itu sepanjang sisa tahun ini.

"Pendekatan kami sepanjang pandemik ini adalah mengikuti petunjuk setempat untuk mengadakan kejohanan," kata ketua ATP, Andrea Gaudenzi, dalam satu kenyataan.

"Kami menghormati keputusan pemerintah China untuk mengambil langkah yang terbaik demi negara mereka sebagai tindak balas terhadap situasi global yang belum pernah terjadi sebelum ini.



"Dengan berat hati, kami mengumumkan bahawa kejohanan ATP tidak akan dilangsungkan di China tahun ini. Kejohanan-kejohanan ini penting kerana menjadi nadi kepada penganjuran siri Jelajah di Asia dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas komitmen dan kerjasama mereka.

"Peminat di China adalah yang paling bersemangat di dunia dan pemain pasti menantikan peluang seterusnya untuk beraksi di hadapan mereka."

Ditangguhkan sejak Mac lalu, Jelajah ATP dan WTA dijadualkan bersambung semula bulan depan.

Sebanyak 15 juta kes COVID-19 telah disahkan di seluruh dunia dengan melibatkan kematian melebihi 630,000 orang.