Pemain tenis no.1 dunia, Andy Murray, berasakan ranking itu tidak membawa perbezaan terhadap dirinya, namun sebaliknya menanti cabaran daripada Novak Djokovic.

Murray disahkan selaku pemain no.1 dunia yang baru Sabtu lalu susulan penarikan diri Milos Raonic di peringkat separuh akhir Masters Paris di samping Djokovic gagal melepasi cabaran Marin Cilic.

Wakil Britain itu, yang kini akan cuba untuk menjuarai Final Jelajah Dunia ATP buat julung kalinya, memberitahu satu sidang media: "Saya boleh katakan, ini adalah tahun terbaik saya dan kebelakangan ini prestasi saya cukup konsisten.

"Meskipun saya tewas dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya tidak kalah dengan jurang yang besar.

"Saya tidak berasa sebarang perbezaan menghuni ranking no.1 dunia, cuma mungkin saya akan berasa sedikit yakin apabila menjejakkan kaki ke atas gelanggang selepas ini."

Meskipun merampas status no.1 daripada Djokovic, Murray menafikan dakwaan wakil Serbia itu kini semakin kehilangan sentuhannya.

"Saya tahu Novak akan kembali beraksi dengan hebat," tambahnya.

"Dia telah bermain tenis dengan cukup baik selama bertahun-tahun lamanya. Jadi, apabila dia gagal untuk mempamer aksi mantap untuk tempoh beberapa bulan ini, saya pasti ia tidak terlalu menggusarkan. Saya dapat membayangkan dia akan kembali."

Murray telah diundi dalam Kumpulan John McEnroe dan bakal berdepan Stan Wawrinka, Kei Nishikori dan Cilic.