Seramai 278 pemain akan berentap dalam Kejohanan Tenis Remaja Jelajah Malaysia Pusingan Ke-8 di Arena Tenis Perak, Ipoh, mulai Khamis hingga Ahad ini.

Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP), Fazwil Abdul Wahid, berkata kejohanan itu adalah persinggahan terakhir siri Jelajah Malaysia sebelum kejohanan Masters di Kompleks Tenis Jalan Duta, Kuala Lumpur, bulan depan.

"Pemain perlu mengumpul mata untuk melayakkan diri ke kejohanan Masters itu.

"Justeru, ia menyaksikan penyertaan kali ini adalah yang terbesar," katanya.

Menurutnya, pemain remaja dari seluruh negara akan bertanding dalam pelbagai kategori peringkat umur, iaitu lapan tahun ke bawah hingga ke 16 tahun ke bawah.

Katanya lagi, kejohanan itu adalah kelolaan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan ditaja oleh ‘SILVERLAKE symmetry at work’.

Fazwil berkata PLTA terpaksa menempah gelanggang tambahan di YMCA, Institut Pendidikan Guru, Hulu Kinta, dan Kelab PTD Padang Polo, Ipoh, berikutan penyertaan memberangsangkan itu.

Tuan rumah mempertaruhkan Shihomi Leong, Daniel Princket, Pavel Liam, Adam Aqil dan beberapa pemain negeri yang bakal memberikan saingan sengit.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Amanda Delisha, yang berasal dari Perak akan mengetuai cabaran kategori lapan tahun ke bawah.