PLTP anjur empat kejohanan remaja

Oleh Azizan Hashim 17 Oktober 2019 153
PLTP anjur empat kejohanan remaja
Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP) akan memeriahkan aktiviti sukan tenis di negeri itu dengan mengadakan empat kejohanan remaja menjelang hujung tahun ini.

Sempena Bulan Sukan Negara, PLTP akan menganjurkan Karnival Mini Tenis “Kids Grand Prix”, Sabtu ini.

Program karnival sehari itu adalah lanjutan daripada program “First Serve” anjuran Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang diterajui Mirzan Mahathir selaku presiden LTAM.

Program itu buat julung-julung kalinya diadakan di peringkat negeri dan Taiping Bandar Warisan telah dipilih sebagai gelanggang.

Naib Presiden PLTP, Fazwil Abdul Wahid, berkata karnival itu diadakan di Taiping sebagai menyahut saranan Exco Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How, agar sukan tenis dapat menarik minat kanak-kanak di peringkat daerah.

Seterusnya Kejohanan Tenis Remaja Asia B-14 Persekutuan Tenis Asia (ATF) akan berlangsung di Arena Tenis Perak, Ipoh pada 28 Oktober hingga 3 November ini.

"PLTP mendapat hak penganjuran kejohanan yang akan disertai pemain-pemain hebat bawah 14 tahun dari 17 negara, antaranya Kazakhstan, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Vietnam dan Iran," katanya.

Selepas itu, PLTP akan mengadakan Kejohanan Malaysia Silverlake Junior Tour di Ipoh pada 7-10 November yang akan menyaksikan persembahan pemain-pemain remaja kebangsaan,.

Beliau berkata PLTP akan menutup tirai kejohanan dengan Kejohanan Jemputan Terbuka Remaja Taiping (TJO) anjuran bersama Kelab Tenis Taiping (KTT) pada 23-25 November depan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen