Skuad tenis negara ke Piala Konfederasi perlu menawarkan segala keringat yang ada dalam persiapan menghadapi saingan Kumpulan 2, Zon Asia-Ocenia di laman sendiri bermula Rabu ini.

Antara yang bekerja keras ialah Sara Alisha Nayar, yang kali pertama membarisi skuad wanita senior negara.

Atlet berusia 18 tahun itu mengambil positif tekanan beraksi di laman sendiri untuk menjadikannya sebagai suntikan semangat agar dapat memberikan yang terbaik selepas menjalani latihan rapi sejak sebulan lalu.

Sara akan bersaing dalam acara beregu dengan bergandingan bersama bekas pemain nombor satu negara, Jawairiah Noordin.

"Saya amat berbesar hati untuk terpilih dan ia akan menjadi pengalaman yang hebat buat saya.

"Persiapan ketika ini amat baik.

"Kami menjalani latihan selama tiga jam pada sebelah pagi dan tiga jam lagi pada sebelah petang.

"Saya rasa kami sudah bersedia dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, jurulatih, S. Selvarajoo, meletakkan sasaran untuk pasukannya sekurang-kurangnya berada di kedudukan empat terbaik dalam kejohanan berkenaan.

"Mereka bekerja keras, namun pemain remaja yang hanya tersenarai dalam ranking remaja masih belum faham tentang saingan berdepan pemain bertaraf dunia dalam Piala Konfederasi.

"Ia pasti sukar kerana mereka kekurangan pengalaman di peringkat senior," katanya.