Garbine Muguruza mungkin sudah layak untuk beraksi dalam kejohanan penutup tirai Persatuan Tenis Wanita (WTA), Final WTA, sebelum memulakan aksi suku akhir di Kejohanan Generali Ladies Linz di Austria, namun kelibatnya belum dapat dipastikan lagi susulan kecederaan.

Penarikan diri Johanna Konta menerusi slot wildcard dalam Piala Kremlin minggu depan secara tidak langsung memberi peluang kepada Muguruza yang berada di kedudukan keenam menjelang aksi di Singapura itu, yang bermaknakedudukannya tidak lagi boleh dicabar.

Sekiranya cergas, Muruguza akan beraksi dalam Final WTA buat musim kedua berturut-turut, di mana dia layak sehingga ke separuh akhir pada 2015.

Bagaimanapun, pemain Sepanyol itu terpaksa menamatkan aksi awal akibat kecederaan pergelangan kaki ketika bertarung dalam set penentuan dengan Viktorija Golubic tatkala keputusan terikat 4-4.

Setakat ini, tahap kecederaan yang dialaminya masih belum dapat dipastikan, malah pengesahannya untuk beraksi dalam Final WTA tertangguh akibat kecederaan itu.

Sehubungan itu, Madison Keys, Carla Suarez Navarro dan Dominika Cibulkova yang meraih kemenangan dalam kejohanan Generali Ladies Linz turut mengintai peluang untuk merebut dua slot terakhir itu.

Keys akan berdepan Golubic dalam saingan separuh akhir selepas membenam Oceane Dodin 6-3, 6-3 manakala Suarez Navarro berhempas-pulas sebelum mencatatkan kemenangan 6-4, 4-6, 6-2 ke atas Denisa Allertova.

Cibulkova pula akan menanti cabaran Suarez Navarro selepas mengalahkan Anastasia Pavlyuchenkova 7-6 (7-3) 6-4.