Bintang tenis dunia, Rafael Nadal, sekali lagi terpaksa menarik diri daripada kejohanan minggu ini dengan dia bakal terlepas Kejohanan Final Persatuan Tenis Profesional (ATP).

Keadaan itu menyaksikan Nadal seakan-akan tidak dapat lari daripada belenggu kecederaan dalam aksi di gelanggang keras.

Kecederaan perut yang dialaminya memaksa Nadal membatalkan niat untuk kembali beraksi selepas dia turut menarik diri daripada Kejohanan Masters Paris ekoran kecederaan lutut.

Pengunduran tersebut turut menyaksikan dia kehilangan takhta selaku pemain nombor satu dunia kepada seteru utama, Novak Djokovic.

Nadal menjuarai Piala Rogers musim ini, namun dia terlepas peluang beraksi dalam kejohanan gelanggang keras terbesar tahun ini sebaik dia menarik diri daripada beraksi dalam Final ATP yang akan berlangsung di Arena O2, London, hujung minggu ini.