Novak Djokovic menerima bantahan keras daripada dua seteru utama di atas gelanggang, Rafael Nadal dan Roger Federer, selepas pemain Serbia itu mendesak untuk meninggalkan kesatuan pemain tenis.

Pemain nombor satu dunia itu, yang bertindak sebagai presiden Jawatankuasa Pemain ATP sejak 2016, telah bekerjasama dengan pemain Kanada, Vasek Pospisil, untuk mendesak langkah tersebut.

Semalam, pemain-pemain dilaporkan menerima surat pelawaan untuk menyertai pertubuhan baru, iaitu Persatuan Pemain Tenis Profesional (PTPA).

Djokovic yakin PTPA dan Jelajah ATP yang menganjurkan kejohanan utama lelaki mampu saling bekerjasama pada masa depan.

Juara 17 Grand Slam itu menuntut persatuan itu agar bebas sepenuhnya daripada pengaruh ATP.

Nadal dan Federer, bagaimanapun, tampil mengatakan bahawa ketika ini bukan masa yang tepat untuk melakukan gerakan yang boleh memecah-belahkan tenis.

"Dunia sedang menghadapi situasi yang sukar dan rumit," tulis Nadal di Twitter.

"Saya secara peribadi percaya ini adalah masa untuk bertenang dan bekerja bersama-sama demi menuju ke arah yang serupa. Ini adalah masanya untuk perpaduan, bukannya perpisahan.

"Ini adalah saatnya perkara-perkara besar boleh dicapai selagi dunia tenis bersatu. Kami semua yang terdiri daripada pemain, kejohanan dan penganjur perlu saling bekerjasama. Kita sedang berdepan masalah yang lebih besar dan perpisahan dan perpisahan pasti bukan jalan penyelesaiannya."



Federer menambah: "Saya setuju @RafaelNadal. Ini adalah masa yang tidak menentu dan mencabar, tetapi saya yakin adalah sangat penting untuk kami terus bersatu sebagai pemain dan sebagai entiti sukan, membuka jalan terbaik demi kemajuan."

Federer - juara 20 Grand Slam -- dan Nadal tidak akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang bermula di New York esok.

Bintang Switzerland itu dalam pemulihan susulan pembedahan lutut manakala pemenang utama 19 kejuaraan utama, Nadal memilih untuk tidak beraksi sebagai langkah berhati-hati dengan perjalanan antarabangsa berikutan penularan wabak COVID-19.

Andy Murray, yang selama bertahun-tahun sudah menjadi sebagian daripada empat seteru utama antara Djokovic, Federer dan Nadal, menyatakan pandangan berhati-hati apabila mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk melakukan langkah besar dalam sukan itu.

"Saya tidak akan menandatanganinya hari ini," katanya menurut Guardian.

"Saya sama sekali tidak membantah kesatuan pemain atau persatuan pemain, tetapi ketika ini ada beberapa perkara: salah satunya saya berpendapat pengurusan semasa perlu diberi sedikit masa untuk melaksanakan visi mereka. Sama ada ia berjaya atau tidak, ia mampu mempengaruhi keputusan saya pada masa akan datang.

"Apatah lagi, kejohanan wanita tiada dalam perancangan baru. Saya rasa ia akan menghantar mesej yang jauh lebih hebat sekiranya WTA turut terlibat. Tetapi Itu tidak berlaku pada masa ini.

"Kalau ia berubah pada masa depan, maka ia akan menjadi sesuatu yang pasti saya pertimbangkan."

Sementara itu, Djokovic meraih gelaran ke-35 kejohanan ATP Masters bertaraf 1000 selepas menumpaskan Milos Raonic 1-6, 6-3, 6-4 dalam perlawanan Terbuka Barat & Selatan di Flushing Meadows, sebentar tadi, sekali gus menyamai pencapaian Nadal.

Kategori wanita pula menyaksikan Victoria Azarenka tidak perlu bersusah payah untuk ditabalkan sebagai juara selepas Naomi Osaka memutuskan untuk menarik diri sebelum turun ke gelanggang ekoran masih dibelenggu masalah hamstring.