Nadal buat kemunculan semula di Abu Dhabi bulan depan 

Oleh Penulis Jemputan 14 November 2018 45
Nadal buat kemunculan semula di Abu Dhabi bulan depan 
Rafael Nadal bersedia untuk kembali apabila mengumumkan penyertaan dalam Kejohanan Tenis Dunia Mubadala, bulan depan. 

Atlet Sepanyol berkenaan terpaksa menarik diri daripada saingan Kejohanan Final ATP musim ini akibat masalah perut dan sejak itu, dia memilih untuk menjalani pembedahan kecederaan buku lali yang berterusan membelenggunya. 

Bagaimanapun, juara grand slam sebanyak 17 kali itu akan kembali beraksi sebelum akhir 2018 apabila mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi dari 27-29 Disember.

Dia akan menyertai Novak Djokovic yang mengambil alih posisi Nadal sebagai pemain nombor satu dunia sebelum menarik diri daripada pertandingan Masters Paris bulan lalu manakala juara bertahan, Kevin Anderson, antara enam pemain yang akan memberi cabaran dalam saingan tersebut. 

"Abu Dhabi merupakan salah satu gelanggang kegemaran saya untuk bermain kerana iklim, suasana dan semangat yang dicetuskan peminat dalam Kejohanan Tenis Dunia Mubadala boleh menjadi permulaan yang sempurna untuk saya mempersiapkan diri bagi menghadapi musim baru," kata Nadal dalam satu kenyataan.

"Kejohanan itu mengumpulkan pemain yang berada di puncak permainan mereka, kami gemar bermain dalam perlawanan yang sangat kompetitif seperti ini."

Minggu lalu, Nadal mendedahkan melalui Twitter bahawa pembedahan itu yang dijalankan bagi tujuan membolehkan "badannya bergerak bebas" di pergelangan kakinya telah berjalan lancar walaupun prosedur itu memaksanya menangguhkan aksi pertunjukan di Mallorca bagi misi membantu mangsa banjir bulan lalu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen