Rafael Nadal akan kembali cergas dan beraksi dalam pusingan akhir ATP di London walaupun dilaporkan mengalami kecederaan lutut sebelum ini.

Perkara itu disahkan oleh jurulatihnya, Carlos Moya, setelah pemain nombor satu dunia itu
terpaksa melupakan saingan suku akhir Paris Masters sebelum ini ketika aksi menentang Filip
Krajinovic akibat kecederaan lutut, sekaligus menimbulkan persoalan akan penampilannya di
London.

Bagaimanapun, Moya menyifatkan anak didiknya itu akan tetap beraksi, menambah tarikan
kepada kejohanan setelah Andy Murray dan Novak Djokovic sah tidak akan beraksi.

"Nadal dalam keadaan bagus, begitu juga lututnya," kata Moya ketika di Milan.

"Dia berhenti kerana tidak mahu mengambil risiko tetapi akan tetap beraksi di London kerana
ia satu-satunya kejuaraan yang belum dimilikinya."

Nadal mengharungi musim yang hebat, memenangi Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika
Syarikat untuk menjadikan jumlah keseluruhan kejuaraan grand slamnya kepada 16.

Pemain berusia 31 tahun itu bergelut dengan kecederaan dan masalah prestasi dalam dua
tahun sebelum ini, namun Moya menjelaskan dia tidak pernah meragui kemampuan bintang
Sepanyol itu.

"Saya sudah menjangkakan Nadal akan kembali menjadi pemain nombor satu dunia dan saya tidak
terkejut kerana melihatnya berlatih dengan gigih.

"Tenis dan pemikirannya telah membawanya ke carta nombor satu semula," tambah Moya.