Andy Murray menangguhkan kepulangannya daripada kecederaan pinggul apabila memilih tidak akan menyertai kejohanan di Montpellier dan Rotterdam bulan depan.

Juara grand slam sebanyak tiga kali itu terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia setelah menanggung kecederaan sejak final Piala Davis tahun lalu.

Murray, 32, dijangka akan beraksi dalam Terbuka Sud de France dan Terbuka Rotterdam bulan depan tetapi semalam mengumumkan belum bersedia untuk kembali.

"Lebam di tulang saya mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding yang disangkakan," kata bekas pemain nombor satu dunia itu kepada media UK.

"Oleh itu, saya tidak akan beraksi di Montpellier atau Rotterdam bulan depan.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa atau meletakkan garis masa bagi pemulihan ini. Saya akan mengutamakan fizikal dan melangkah ke gelanggang apabila tiba masanya."

Kecederaan pinggul itu sempat mengancam kerjayanya tetapi Murray kembali beraksi pada pertengahan tahun lalu dan memenangi gelaran Jelajah ATP di Antwerp, Oktober lalu.




​Editor: Shaiful Shamsudin