Nick Kyrgios menjadi pemain terbaru yang terpaksa mengakhiri musim ini lebih awal berikutan masalah pinggul.

Pemain nombor 20 dunia itu mendedahkan dia masih bergelut dengan kecederaan berkenaan yang dialaminya sejak Kejohanan Aegon di Queen's Club, Jun lalu.

Kyrgios disingkirkan pemain bukan pilihan, Ruben Bemelmans, dalam perlawanan Terbuka Eropah sulungnya kelmarin selepas didenda USD10,000 (RM422,600) kerana menarik diri dalam pertengahan pertarungan pusingan pertama menentang Steve Johnson dalam kempen Shanghai Masters.

Pemain Australia itu yang ditundukkan Rafael Nadal dalam perlawanan akhir Terbuka China awal bulan ini, memilih untuk berehat bagi baki musim ini.

Dia memaklumkannya menerusi Twitter dengan berkata: "Malangnya kerana kecederaan pinggul berterusan yang saya deritai sejak di Queen's memaksa saya untuk menamatkan saingan musim ini bagi memastikan saya pulih dan membuat persiapan terbaik untuk menghadapi Terbuka Australia pada musim panas nanti.

"Saya telah beraksi dalam banyak perlawanan sejak mengatasi kecederaan ini di Washington dan melainkan saya mahu memburukkan kecederaan ini sehingga ke tahap memerlukan pembedahan, saya perlu mendengar isyarat tubuh dan pasukan saya.

"Ini bukanlah pencapaian seperti yang saya hajati, terutama dalam kejohanan Grand Slam biarpun mencapai sesuatu yang positif dalam sesetengah aspek.

"Bukan rahsia lagi saya berdepan beberapa detik buruk di luar gelanggang yang menambah kekecewaan saya pada tahun ini.

"Saya akan melakukan segala yang perlu untuk bangkit pada 2018 dan saya mahu berterima kasih kepada semua orang yang memberi sokongan kepada saya yang memberi galakan dan tenaga positif sepanjang 2017 ini," katanya lagi.

Semalam, Tomas Berdych mengumumkan berehat awal manakala Novak Djokovic, Andy Murray, Kei Nishikori dan Stan Wawrinka juga mengambil langkah serupa apabila hanya akan beraksi pada tahun depan.