Bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Maria Sharapova, akhirnya bersetuju untuk tidak lagi duduk di bawah bimbingan jurulatih, Sven Groeneveld.

Selepas empat tahun bersama, bintang berusia 30 tahun itu mengumumkan perkara itu semalam ekoran kekalahan mengejutnya di tangan Naomi Osaka dalam pusingan pertama di Indian Wells.

Pemenang lima kali grand slam itu mula dikendalikan oleh Groeneveld dari Jerman pada 2014 dan gandingan itu dilihat berjaya selepas meraih tujuh kejuaraan, termasuk Terbuka Perancis pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, Sharapova yang kembali daripada penggantungan tahun lalu dilihat bergelut untuk mencapai prestasi terbaik.

“Selepas empat tahun yang hebat dan mencabar, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Groeneveld di atas taat setia yang ditunjukkan, daya kerja yang sangat bagus serta paling penting, persahabatan yang membolehkan kami melebihi daripada sekadar pemain dan jurulatih,” kata Sharapova dalam kenyataan menerusi laman webnya.

“Walaupun perpisahan ini atas persetujuan bersama, saya tetap bersyukur memiliki seorang jurulatih sepertinya sejak 2014.”

Groeneveld pula membalas: “Sharapova telah menjadi salah seorang pemain tenis paling rajin dan profesional di dunia yang pernah saya lihat. Kekuatan serta semangatnya akan terus membawanya ke arah kejayaan.

“Saya sangat menghormatinya sebagai seorang insan dan juga pemain.”