Halep akhiri 2018 selaku pemain nombor satu dunia

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 93
Halep akhiri 2018 selaku pemain nombor satu dunia
Simona Halep bakal menamatkan tahun 2018 sebagai pemain nombor satu dunia dalam ranking Persatuan Tenis Wanita (WTA) buat kali kedua.

Pemain kelahiran Romania itu sekali lagi mengharungi tahun dengan cemerlang, termasuk memenangi grand slam pertama dalam Terbuka Perancis, dan sekali lagi mengakhiri tahun selaku pemain nombor satu dunia.

Halep akan menerima trofi sebagai tanda kejayaannya dalam Final WTA di Singapura.

"Mengakhiri musim selaku pemain nombor satu WTA tahun lalu amat membanggakan saya," kata Halep.

"Melakukannya buat kali kedua tahun ini, saya berasakan ia sebagai satu pencapaian istimewa, terutama sekali memenangi grand slam pertama.

"Melihat nama saya sekali lagi seiring dengan legenda-legenda lain yang meraih status nombor satu dunia amat membanggakan saya."

Halep bergelut dengan kecederaan belakang sejak beberapa minggu lalu dan berharap untuk mengambil bahagian dalam Piala Kremlin sebelum tampil memberikan cabaran di Singapura.

"Saya menjalani proses rawatan fisioterapi untuk memulihkan kecederaan belakang yang dialami tetapi saya belum berlatih sepenuhnya.

"Saya akan berusaha untuk beraksi di gelanggang sebelum tamat musim ini tetapi saya akan memastikan kecederaan ini tidak akan menjadi lebih teruk selepas ini."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen