Persembahan mantap Caroline Garcia berterusan selepas berjaya menewaskan Simona Halep untuk menjuarai Terbuka China dan bakal beraksi dalam saingan Final WTA.

Pemain tenis dari Perancis itu mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih kemenangan 6-4, 7-6, (7-3) di Beijing.

Garcia merupakan pemain pertama yang berjaya meraih kejayaan berturut-turut di Wuhan dan China pada tahun yang sama dan bakal membuat penampilan dalam saingan terakhir untuk musim ini di Singapura.

Halep juga bakal membuat penampilan dalam Final WTA untuk tahun ini hasil kejayaannya mengumpul mata untuk menduduki ranking nombor satu dunia.

Pemain tenis dari Romania itu memulakan saingan dengan baik apabila berjaya merampas satu permainan pada set pertama.

Bagaimanapun, persembahannya tidak berkekalan apabila Garcia mula menemui rentak permainan untuk memenangi set tersebut 6-4.

Kedua-dua pemain berhempas-pulas dalam set kedua hingga perlawanan terpaksa ditentukan menerusi tie-break dan Garcia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengekalkan aksi cemerlang di bumi Asia itu.