Status sebagai pemain gantian dalam saingan beregu wanita tidak menjadi penghalang buat Aslina Chua yang bergandingan baik bersama Jawairiah Noordin untuk menewaskan pasangan Vietnam, Tran Thi Tam-So Boi Ngoc, 6-4, 6-1 untuk muncul juara beregu wanita Terbuka Kuala Lumpur, hari ini.

Aslina yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2016 hanya didaftarkan pada saat-saat akhir bagi menggantikan S. Theiviya yang mengalami kecederaan untuk saingan beregu wanita.

Bagi Aslina yang menuntut di Universiti Michigan State, Amerika Syarikat (AS), dia turut berpuas hati dengan peningkatan prestasinya menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Kejayaan dalam saingan beregu juga akan menjadi suntikan semangat buat Aslina yang akan ke pentas akhir perseorangan wanita untuk berdepan Polina Merenkova, esok.

"Prestasi saya semakin meningkat dalam tempoh tiga minggu ini di mana saya memulakan aksi di atas gelanggang tanah liat di Paris.

"Kini saya beraksi di atas permukaan keras serta kesempatan bermain dalam tiga permukaan dan altitud yang berbeza mendorong mentaliti saya untuk menjadi pemain yang lebih tajam sungguhpun masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

"Saya boleh menghulurkan sokongan kepada rakan sepasukan dan saya berasakan itu lebih penting," ujarnya.

Aksi cemerlang Aslina turut diakui Jawairiah yang menyifatkan pemain dari Sarawak itu berjaya membentuk keserasian yang baik bersamanya.

Jawairiah mengakui kejayaan dalam Terbuka Kuala Lumpur akan menjadi motivasi penting buat dirinya dan kesemua pemain tenis negara menjelang temasya dwitahunan itu bulan depan.

"Dia bermain dengan baik meskipun telah bermain dalam dua aksi perseorangan.

"Dia memiliki kecergasan tinggi. Saya gemar melakukan voli dengan pukulan balas yang agak rendah dari belakang.

"Pendekatan itu sememangnya berkesan," kata Jawairiah pula.