Roger Federer berada di atas mana-mana pemain dalam sejarah sukan tenis, kata bekas pemain nombor satu dunia, Andre Agassi.

Federer menewaskan Agasii dalam final empat Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2005 -- gelaran grand slam keenam daripada 20 yang dikumpulkannya hari ini.

Rafael Nadal dan Novak Djokovic juga semakin hampir dengan rekod legenda Switzerland itu dengan masing-masing merekodkan 19 dan 17 gelaran grand slam.

Perjalanan tenis dunia yang tergendala berikutan pandemik Covid-19 menjejaskan peluang Federer, yang kini berusia 38 tahun, untuk menambah koleksi kejayaan tersebut selepas kali terakhir meraihnya dalam Terbuka Australia pada 2018.

Enam tahun lalu, Agassi pernah melabel Nadal sebagai pemain terulung sepanjang zaman tetapi dalam satu temu bual bersama Bild, dia mengubah pendirian itu selepas tewas kepada Federer di Flushing Meadows.

"Federer, tanpa sebarang keraguan.

"Tiada siapa dapat menenggelamkan lawan sepertimana yang dilakukannya di atas gelanggang.

"saya tidak fikir (saya mempunyai peluang untuk menewaskannya dengan prestasi terbaik saya).

"Saya pernah bertarung dengannya dalam Terbuka AS 2005. Saya memenangi satu set -- selebihnya amat mustahil.," katanya.

Kini, Agassi mengakui dia turut bergelut untuk memenangi satu set ketika bertarung dengan isterinya yang juga bekas legenda tenis wanita, Steffi Graf.

"Dia sentiasa menang. Dia memiliki impian untuk kekal sihat.

"Steffi juga amat mudah untuk mengekalkan kecergasannya berbanding saya.

"Dia bangun pagi, bersukan dan tidak perlu memikirkan mengenainya.

"Segalanya nampak mudah buatnya," tambahnya.