Novak Djokovic berharap bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray, dapat kembali untuk mencabar kejuaraan besar pada 2020.

Murray tampak menuju persaraan selepas tersingkir daripada Terbuka Australia tetapi mencipta kebangkitan daripada pembedahan pinggul sepanjang musim.

Dia menarik perhatian selepas kembali dengan menundukkan Stan Wawrinka dalam final Terbuka Eropah awal bulan ini bagi membolehkannya meraih trofi Jelajah ATP pertama dalam tempoh dua tahun.

Djokovic menikmati rekod cemerlang berdepan Murray yang hanya menang 11 daripada 36 pertemuan mereka.

Pemain nombor satu dunia itu -- yang bakal terlepas statusnya kepada Rafael Nadal awal bulan depan susulan persembahan cemerlang dalam Paris Masters -- kini mahu melihat Murray meneruskan kebangkitan sehingga tahun depan.

"Sejujurnya, saya harapkannya," katanya ketika ditanya sama ada Murray mampu mendapatkan semula prestasi yang membolehkannya meraih tiga gelaran grand slam.

"Saya harap dia mencabar kejuaraan kerana tenis akan meraih kebaikan dan keuntungan daripadanya. Dia telah tinggalkan legasi besar dan masih membina dirinya.

"Mengetahui apa yang dilalui dalam tiga tahun terakhir, bagus untuk melihatnya meraih kejuaraan selepas tempoh yang lama. Hanya dia yang tahu mengenai cabaran fizikal dan mental yang dihadapi.

"Saya tahu disiplin dan etika yang dia terapkan serta kerja keras yang dilakukan. Dia layak meraihnya dan saya mengucapkan selamat maju jaya buatnya."