Dua pilihan utama, Ahmed Deedat Abdul Razak dan Suhana Sofia Adam Das, mahu terus membuktikan mengapa mereka bergelar pemain tenis terbaik negara dengan mengungguli saingan masters kebangsaan.

Kedua-duanya tidak pernah memenangi gelaran kemuncak bagi saingan sirkit kebangsaan itu.

Deedat melangkah ke saingan masters dengan keyakinan memenangi empat daripada enam gelaran siri kebangsaan sambil Suhana dengan kekecewaan disingkirkan sebelum final sirkit keenam yang berakhir 4 November lalu.

Berbeza dengan enam sirkit sebelum ini, saingan masters yang menghimpunkan lapan pemain terbaik tempatan akan terlebih dahulu bersaing dalam peringkat round robin sebelum menuju aksi kalah mati.

"Saya berharap dapat mengekalkan prestasi. Undian saya setakat ini agak sukar kerana semua pemain hebat dalam kumpulan itu. Saya perlu memulakan saingan dengan baik.

"Saingan ini memberi makna segalanya buat saya kerana semua pemain terhebat di Malaysia akan beraksi dan berjuang mendapatkan trofi," ujar Deedat.

"Saya sudah belajar banyak perkara. Saingan sentiasa akan sukar. Saya harus bekerja lebih keras dan apa yang penting, saya hanya perlu turun dan menikmati permainan," kata Suhana.

"Semestinya bagus untuk muncul pemenang kerana saya belum pernah meraihnya sebelum ini."