Terbuka Perancis bulan depan mungkin ditunda berikutan peningkatan kes COVID-19, menurut menteri sukan Perancis.

Perancis kembali mengetengahkan perintah berkurung peringkat kebangsaan yang ketiga dalam usaha mengekang lonjakan kes COVID-19 yang dikhuatiri akan membanjiri hospital di seluruh negara.

Acara sukan profesional sebahagian besarnya dikecualikan daripada sekatan itu tetapi Menteri Sukan, Roxana Maracineanu, menyarankan Terbuka Perancis agar ditangguhkan dari tarikh asal iaitu pada 23 Mei depan.

"Kami sedang berbincang dengan mereka (Persekutuan Tenis Perancis) untuk kebarangkalian menunda tarikh penganjurannya yang turut membabitkan acara sukan dan kejohanan utama yang lain," katanya kepada stesen radio France Info.

"Hari ini, walaupun kejohanan utama masih dibenarkan, kami masih berusaha untuk membatasi risiko tercetusnya kluster yang tidak terkecuali boleh menyebarkan virus ini dalam sukan profesional."

Raja tanah liat, Rafael Nadal, memenangi Terbuka Perancis tahun lalu yang ditangguhkan selama empat bulan untuk setaraf dengan pencapaian 20 gelaran grand slam milik Roger Federer.