Saingan tenis profesional kembali menerusi kejohanan gelanggang tanah liat di Jerman semalam dengan wira negara itu dalam Kejohanan Grand Slam Wimbledon memainkan peranan utama.

Dustin Brown pernah membuatkan penonton di Wimbledon Center Court teruja apabila mengejutkan Rafael Nadal, lima tahun yang lalu, dengan menghasilkan rentak permainan yang mempesonakan sekali gus menambat hati ramai peminat.

Namun, pemain berketurunan Jerman-Jamaica itu mengakui terkesan beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam Kejohanan Tennis-Point di Base Tennis Academy, Hohr-Grenzhausen -- sebuah bandar kecil yang terletak di antara wilayah Cologne dan Frankfurt.

Dalam kejohanan liga sepusingan yang terdiri daripada lapan pemain itu, Brown mencatat kemenangan 4-2, 4-2 ketika menentang rakan senegara, Constantin Schmitz.

Jelajah ATP dan WTA menyaksikan beberapa kejohanan berdepan penundaan sehingga pertengahan Julai depan atau dibatalkan ekoran wabak novel koronavirus (Covid-19).

Perlawanan pertama pada hari pertama menyaksikan Benjamin Hassan menewaskan Jean-Marc Werner 4-2, 4-2.

Berikutan syarat perjalanan antarabangsa yang sangat ketat, kejohanan itu hanya melibatkan pemain yang berpangkalan di Jerman dan dijangka menjadi pelopor kepada edisi pertunjukkan di tempat lain terutama di Sepanyol dan Perancis yang selepas dicadangkan jurulatih Serena Williams, Patrick Mouratoglou.

Dua kejohanan akan diadakan di gelanggang persendirian di Florida akhir bulan ini seperti yang diumumkan semalam dengan kelompok 20 pemain terbaik dunia seperti Matteo Berrettini dan Alison Riske antara mereka yang sudah mengesahkan akan mengambil bahagian.

Perlawanan semalam itu dilangsungkan di gelanggang tertutup dengan kehadiran pengadil, namun tiada pengutip bola mahupun penjaga garisan.

Gelanggang tanah liat itu dikelilingi papan iklan, sekali gus mencerminkan bahawa pertandingan itu turut mendapat liputan.

Jurulatih disegani dari Belanda, Sven Groeneveld, yang pernah mendidik Maria Sharapova, Monica Seles dan yang terbaru, Sloane Stephens, berkata "pengadil" perlawanan sempat dilihat mengambil bola tanpa memakai sarung tangan pada penghujung satu pertarungan.

Dia mengamati perubahan protokol itu dengan menulis di Twitter: "Lega melihat wawancara diadakan selepas perlawanan tanpa ada sesi berjabat tangan atau penghargaan kepada lawan mahupun pengadil! Mungkin boleh tunduk seperti di Jepun sebagai tanda terima kasih yang baik!"