Novak Djokovic dan isterinya, Jelena, menderma sebanyak €1 juta (RM4.83 juta) bagi pembiayaan pembelian alatan perubatan sewaktu pandemik Covid-19.

Jelajah ATP musim ini terpaksa ditunda sehingga Jun depan bagi menyekat penularan wabak berkenaan.

Dengan saingan gelanggang tanah liat musim ini dibatalkan, Kejohanan Tenis Terbuka Perancis telah dianjakkan ke September depan manakala satu mesyuarat khas akan diadakan minggu depan bagi membincangkan status Kejohanan Wimbledon.

Ketika ini, juara Terbuka Australia dan Kejohanan Kelab Seluruh England, Djokovic, mengeluarkan sumbangannya bagi memerangi wabak berkenaan, yang telah mencatatkan lebih daripada 550,000 kes secara global dengan 25,000 kematian.

"Saya mahu menyampaikan penghargaan saya buat kesemua pegawai perubatan di seluruh dunia dan di tempat asal saya, Serbia, kerana membantu setiap orang yang dijangkiti koronavirus," kata pemenang 17 kali kejohanan grand slam itu dalam satu sidang video.

"Malangnya, semakin ramai yang dijangkiti setiap hari.

"Saya dan isteri, Jelena, bersama-sama merancang tentang bagaimana kami dapat menyumbangkan sumber yang kami ada untuk mereka yang memerlukan.

"Kami mendermakan €1j bagi membeli ventilator dan peralatan perubatan yang lain," katanya.

Minggu lalu, Djokovic mengirimkan satu ciapan Twitter yang menggesa penyokongnya untuk "membantu bumi kita supaya segera pulih".

Mengenai penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, dia menambah: "Saya sedih apabila @olympics ditunda tetapi saya pasti ia keputusan yang tepat untuk kesihatan semua pihak secara kolektif. Ayuh bersedia untuk Sukan Olimpik Tokyo 2021."

Bintang Serbia itu tidak pernah tewas sepanjang musim ini dengan memenangi Piala ATP, kejohanan utama di Melbourne dan Kejohanan Dubai.