Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) akan mengumumkan sama ada hukuman penggantungan Maria Sharapova selama dua tahun akan dikurangkan.

Sharapova menjalani penggantungan sehingga Januari 2018 selepas diuji positif mengambil bahan terlarang, meldonium, dalam Terbuka Australia pada tahun ini.

Dalam rayuannya, bekas pemain nombor satu dunia itu mendakwa tidak menyedari meldonium telah disenaraikan dalam bahan terlarang oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada awal 2016.

Selepas ditangguhkan akibat konflik jadual, badan bebas itu mengesahkan pada bulan lalu bahawa keputusan kes berkenaan akan diketahui pada minggu pertama bulan Oktober.

Semalam, CAS mengeluarkan kenyataan yang menyebut, "Keputusan kes Maria Sharapova dan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) akan dikeluarkan pada 3 petang (waktu tempatan) pada 4 Oktober 2016."