Tiada sambutan hangat di Manila

Oleh Staff Writer 23 November 2019 2294
Tiada sambutan hangat di Manila
Tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, tampak masih belum bersedia untuk menjadi penganjur terbaik memandangkan terdapat masalah yang dihadapi delegasi beberapa negara selain kurangnya bahang kemeriahan temasya itu di Metro Manila.

Tinjauan Nadi Arena hari ini mendapati masih terdapat kerja membaik-pulih di Kompleks Sukan Memorial Rizal yang menempatkan beberapa venue penting seperti stadium bola sepak, gelanggang badminton dan bola keranjang.

Akhbar tempatan pula melaporkan venue di Tagaytay, yang merupakan gelanggang sukan ekstrem seperti papan selaju dan basikal BMX, masih belum siap sepenuhnya.

Keadaan di Metro Manila juga tidak menampakkan kemeriahan tuan rumah sebagai penganjur dengan venue-venue seperti di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Mall of Asian Arena dan perkarangan Kompleks Sukan Memorial Rizal, tiada sepanduk atau poster meskipun temasya itu akan membuka tirainya minggu depan.

Usaha Nadi Arena untuk mendapatkan komen daripada wakil Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), bagaimanapun, berakhir dengan kegagalan dan perkara sama turut dihadapi petugas media lain yang berurusan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kelewatan mendapatkan kad akreditasi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen