Ketua Pegawai Operasi Majlis Olimpik Malayisa (MOM), Michelle Chai, berpuas hati dengan penganjuran Sukan SEA Filipina 2019 di Clark yang jauh lebih baik berbanding di Manila.

Menurutnya, kebanyakan venue di Clark sudah siap, namun hanya kerja penambahbaikan infrastruktur masih giat dijalankan menjelang upacara pembukaan rasmi Sabtu ini.

"Fasiliti di perkampungan atlet agak baik.

"Setakat ini, kami mempunyai atlet boling padang dan polo air di sini.

"Kami juga tidak menerima sebarang aduan.

"Jadi, saya rasa ia agak selesa untuk atlet walaupun masih ada beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, tuan rumah juga memaparkan sijil makanan halal dan ia bukan lagi satu kerisauan buat atlet dan pegawai yang ditempatkan di perkampungan sukan di Clark.

"Sebenarnya makanan di perkampungan atlet amat bagus.

"Terdapat banyak pilihan dan semuanya halal.

"Mereka memiliki sijil halal.

"Saya rasa atlet yang duduk di Clark ini agak bernasib baik juga," tambahnya.